4 sukarelawan AKCO berlepas ke Uganda

4 sukarelawan AKCO berlepas ke Uganda

Sepang: Empat sukarelawan Alkhairi Charity Organization (AKCO) berlepas ke Uganda, hari ini, dalam misi memberi bantuan kepada rakyat negara berkenaan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 terutamanya bagi membantu mereka menyelesaikan masalah ketiadaan bekalan air bersih.

Misi selama 10 hari itu adalah bagi memantau pembinaan telaga pam air bersih yang sudah dilaksanakan selain menjalankan pembinaan baharu.

Ketua misi, Leftenan Bersekutu (PA) Mohamad Anas Mohamad Naem berkata, dalam misi ini, pihaknya mensasarkan dana kutipan awam sebanyak RM500,000 yang akan disalurkan dalam pelbagai bentuk namun ditumpukan bagi pembinaan telaga pam air.

“Misi ini untuk kita pantau pembinaan telaga pam air bersih yang sudah dilakukan sebelum ini. Kita juga akan melakukan pembinaan baharu di kawasan perkampungan yang memerlukan bekalan air bersih.

“Kemiskinan melampau merupakan isu utama di Uganda dan seakan tiada pengakhiran. Kedatangan kami ke Uganda adalah bagi menjalankan amanah rakyat Malaysia yang menjadikan AKCO sebagai salah satu platform pemudahcara infaq atau sedekah. Ini juga adalah sebagai galakan untuk kita melakukan kebaikan tanpa mengira bangsa ataupun negara,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Mohamad Anas berkata, selain pembinaan telaga pam air bersih, pelbagai bantuan antaranya wakaf Al-Quran, pek makanan, sedekah daging serta membaikpulih prasarana sosial dan pendidikan sedia ada bagi kemudahan masyarakat setempat sudah dijalankan pihaknya hasil sumbangan awam.

Katanya, pihaknya juga setiap tahun melaksanakan program Qurban kepada masyarakat di negara itu.

Untuk rekod, AKCO sudah membina telaga pam air di beberapa perkampungan di Budaka, daerah kecil terletak di timur Uganda.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan dana ke akaun Bank Islam 1203-8010-1438-24 atas nama Pertubuhan Kebajikan Alkhairi.

 


 

Laporan hmetro.com.my

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/10/771043/4-sukarelawan-akco-berlepas-ke-uganda

 

Similar Posts